Majlis Pelancaran Rasmi Program Pertolongan Cemas Dalam Komuniti Anjuran dan usahasama antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada Hari Rabu, 04 Rabiulawal 1445 / 20 September 2023 bertempat di salah sebuah hotel di negara ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin Bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Yang Berhormat Dato dalam ucapannya antaralain menyambut baik usahasama di antara Persatuan Bulan Sabit Merah dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Jabatan-Jabatan Daerah di mana penglibatan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs), sukarelawan-sukarelawan serta pemimpin-pemimpin akar umbi adalah sangat signifikan untuk membantu mencapai hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini.
Program ini akan dilaksanakan dalam dua (2) peringkat iaitu Training of Trainers dan First Aider Training yang bertujuan untuk menyediakan latihan kemahiran yang disasarkan kepada penduduk-penduduk Mukim dan Kampung di seluruh negara termasuk Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung untuk diiktiraf sebagai Community First Aider dalam menangani situasi kecemasan seperti masalah kesihatan, kecederaan, kemalangan dan bencana alam sama ada yang terjadi di dalam mukim, kampung mahupun rumah persendirian.
Hasrat yang berkebajikan ini adalah selaras dengan Aspirasi Pertama dan Aspirasi Kedua Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu “Keselamatan dan Kesejahteraan" dan “Transformasi Pembangunan Bandar dan Daerah, dan memperkasakan Pembangunan Komuniti" melalui penekanan terhadap penglibatan aktif daripada pemimpin-pemimpin akar umbi dengan kerjasama masyarakat khususnya Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dalam membantu memperkasakan masyarakat untuk tampil kehadapan dan sama-sama mengambil peranan untuk menerajui pelbagai inisiatif pembangunan diri seperti mempertingkatkan penglibatan komuniti sebagai Petindak Pertama (First Responder) semasa kejadian bencana dan memupuk kewaspadaan masyarakat dalam hal ehwal keselamatan dan kesejahteraan. Inisiatif seumpama ini juga mendukung sasaran Kementerian Kesihatan iaitu Seorang First Aider bagi Setiap Rumah menjelang tahun 2035 dan pelan strategik Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei yang juga menyasarkan Satu Rumah Satu First Aider menjelang tahun 2030.
Objektif Program Pertolongan Cemas Komuniti adalah untuk memperkasa dan memberikan pengetahuan pertolongan cemas dalam menyelamat nyawa dan menangani apa jua punca kecemasan yang berlaku kepada masyarakat umum untuk memberikan kecekapan dalam menangani kecemasan pada bila-bila masa. Sasaran utama program ini adalah bagi mukim dan kampong yang jauh daripada pusat kesihatan, dan latihan akan dijalankan dengan bantuan Jabatan-Jabatan Daerah dan Institusi Mukim dan Kampong diseluruh negara dibawah pantauan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam tempoh setahun dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya seramai seribu orang.
Program ini juga mempunyai Visi dan Misi iaitu “One Household, One First Aider" menjelang tahun 2035 nanti dengan Knowledge HUB berperanan sebagai pembelajaran dan rujukan kepada pengetahuan pertolongan cemas untuk masyarakat.